Friday, February 24, 2012



Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.

Maksudnya:

"Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam."

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi S.A.W.:

Maksudnya:

"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:

Maksudnya:

"Rasulullah S.A.W berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya:

"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya,

"Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:

"Bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke 27."

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar R.A yang berbunyi:

Maksudnya:

"Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah R.A bertanya kepada Rasulullah, katanya:

"Ya Rasulullah S.A.W andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa:

Maksudnya:

"Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."

- Petikan dari : FIQH & Perundangan Islam Jilid II : Wahbah al-Zuhaili : Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saturday, June 11, 2011

BOSAN



"Bosan la begini, asyik buat benda sama je."

"Amirul, keluar jom. Bosan la lepak rumah."

Kalimah 'bosan' seringkali digunapakai dalam kehidupan manusia sekarang untuk menggambarkan perasaan seseorang yang jemu dengan cara hidup yang dihadapi.

Tetapi, hakikatnya kalimah 'bosan' itu hanya wujud dalam kamus hidup manusia yang kosong jiwanya, malah lebih teruk manusia yang menjadi hamba kepada budaya hedonisme. Hidup terasa kosong apabila tiada hiburan yang melalaikan menjadi teman.

"Bosannya, internet buat hal la pulak. Banyak la notification nanti tak terbalas."

"Ala, hujan lagi. Sekejap lagi mula la astro buat hal. Melepas tengok Jozan buat lawak."

Bagi mereka yang kaya jiwanya, mereka akan terus sibuk dan sibuk mengimbangi amalan dunia dan bekalan di akhirat sehingga masa yang ada bagaikan tidak mencukupi bagi mereka. Seringkali mereka berjuang menggunakan setiap detik waktu yang masih bersisa mengabdikan diri kepada Tuhan.

Ingatlah, setelah dilahirkan ke dunia, kita diamanahan dengan misi yang penting. Kitalah hamba, dan kita jualah pemimpin.

Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [al-Baqarah : 30]

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. [al-Dhariyat : 56]

Dua misi ini yang akan terus membuatkan kita berasa sibuk dan terus sibuk, sehingga kita tidak punya masa untuk merasa bosan dalam hidup. Berusahalah menghapuskan perkataan 'bosan' dalam kamus kehidupan seharian kita dengan mengabdikan diri kepada Allah dan mengimarahkan bumi Allah dengan menjadi khalifah yang soleh dan solehah. Insya-Allah..

Monday, October 11, 2010

Senyuman Suatu Sedekah


Hadith :

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.”
(Ahmad)

Huraian
1. Makruf adalah segala perkara yang diketahui umum tentang kebaikannya sama ada dari segi syarak atau dari segi adat (yang tidak bercanggah dengan syarak). Manakala perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya. 2. Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi semasa berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.

Wasiat Jangan Ditangguhkan


Hadith :

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hak bagi seseorang yang hendak mewasiatkan hartanya (menangguhkannya) bermalam sehingga dua malam, melainkan hendaklah ia segera menulis wasiat itu”.


Huraian 1. Hidup dan mati ditetapkan oleh Allah, oleh yang demikian tidak sesiapa pun yang dapat tahu bila kematian itu akan menjemput kita. 2. Seseorang yang hendak berwasiat janganlah ia menangguh-nangguhkan membuat wasiatnya. 3. Berwasiat adalah harus bagi orang-orang Islam mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syara’

Tuesday, August 24, 2010

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka


Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
(al-Bukhari dan muslim) Huraian

Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

Malam Lailatul Qadar


Hadith :


Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”

(al-Bukhari)


Huraian
1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.
2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut
3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.
4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.